Selebriti-tanpa-sebab, Courtney Stodden yang baru
berusia 18 tahun baru-baru ini telah menjalani pembedahan untuk menambah
saiz payudaranya dari C ke DD. Untuk apa? Kepuasan diri katanya. Begitu
juga dengan bekas IT girl, Amanda Bynes, yang mengakui pembedahan
plastik buat dia puas dengan dirinya.
Rasa rendah diri, populariti yang semakin menurun, putus cinta,
perceraian, inginkan kepuasan. Berbanding orang biasa, banyak sebab
untuk seorang selebriti bertemu doktor bedah dan mengubah rupa paras
mereka, sekalipun dunia mencemburui anugerah yang telah dikurniakan
kepada mereka.
Stodden dan Bynes hanyalah sebahagian dari artis-artis di bawah ini:
Melanie Griffith
Bintang "Working Girl" ini memang seorang yang jelita, Jika tidak, dia
tidak akan berjaya menawan hati jejaka Sepanyol Antonio Banderas dan
mengekalkan perkahwinannya sehingga kini. Namun obsesinya dengan
pembedahan plastik agar tampil relevan dengan suaminya menjadikan wanita
All-American ini berubah rupa, terutama sekali di bahagian bibirnya
sehingga mencacatkan kemanisan yang sedia ada.
Jocelyn Wildenstein
Dia mungkin bukan bintang filem atau realiti, tapi akibat pembedahan
platik yang gagal, sosialit New York, Jocelyn Widenstein kini menjadi
contoh terulung mengapa anda perlu berfikir panjang sebelum membuat
keputusan untuk mengubah anugerah yang diberikan Tuhan.
Sekalipun dia memulakan tabiat bertemu doktor bedah kosmetik sejak awal
90-an, perceraian dengan suaminya, Alec Wildenstein menambahkan lagi
obsesinya terhadap pembedahan plastik sehinggakan hampir AS$4 juta
(RM12.8 juta) dihabiskan untuk memperbaiki wajahnya. Dia digelar
"Catwoman", kerana dikatakan cuba menjadikan wajahnya lebih 'kekucingan'
untuk menarik hati suaminya.
Mickey Rourke
Mickey Rourke sendiri mengakui bahawa dia banyak melakukan prosedur
pembedahan kosmetik untuk memperbaiki kerosakan pada rupa parasnya
akibat dari aktiviti tinjunya di masa muda. Tapi malangnya, ia bukan
memperbaiki, tetapi merosakkan proses penuaan Rourke, seorang hero filem
yang kacak dan digilai ramai ketika mudanya, menjadi lelaki pertengahan
usia yang tidak mahu melepaskan zaman kegemilangannya.
Meg Ryan
Dia disukai wanita dan digilai kaum lelaki. Wajahnya yang manis dan
sentiasa tampak muda remaja menjadikan bintang "You've Got Mail" dan
"Kate & Leopold", Meg Ryan pilihan terbaik untuk filem-filem
bercorak komedi romantis.
Malangnya, dia tidak berbeza dengan kebanyakan artis Hollywood yang
tidak dapat menerima proses penuaan yang harus dialami semua, lalu Ryan
banyak menghabiskan wangnya mengambil suntikan Botox, selain beberapa
prosedur lain yang tidak pernah diakuinya (tapi jelas boleh dilihat
bezanya). Sejak itu, popularitinya bukan sahaja menurun, malah kali
terakhir dia dilihat di layar lebar adalah pada tahun 2009 melalui filem
"Serious Moonlight".
Tori Spelling
Anak gadis produser terkenal Aaron Spelling ini mungkin dikatakan
berjaya kerana pengaruh bapanya, tapi dia masih seorang gadis yang boleh
menarik perhatian ramai dengan rupanya yang mudah disukai. Malangnya,
berbeza dengan artis lain yang pasti akan mencuba untuk membuktikan
orang lain salah melalui bakat lakonan mereka, Tori mencari bantuan dari
klinik pembedahan kosmetik untuk menambahkan imej seksinya dengan
membesarkan payudaranya.
Akibatnya, prosedur tersebut gagal dan dia yang sebelum ini tidak ada
cacat celanya dikurniakan payudara yang mengempis. Sekalipun dia telah
menyaman doktornya, Tori yang sememangnya tipikal gadis California,
tidak berhenti dari terus menjalani beberapa prosedur untuk mengubah
rupa parasnya.
Lara Flynn Boyle
Bintang siri TV "The Practice" ini sememangnya dikenali dengan
kejelitaan berdarah Irish, Jerman dan Italinya. Namun begitu, bila
usianya meningkat, Lara membuat keputusan untuk menambah lagi kecantikan
rupa parasnya dengan suntikan di bibir yang tidak pernah diakuinya.
Bruce Jenner
Dia seorang atlit olahraga pingat emas Olimpik 1976 tapi Bruce Jenner
juga digilai ramai wanita kerana kekacakannya. Namun bila dia meningkat
usia, Jenner dijadikan bahan jenaka ramai kerana kegagalan pembedahan
pastik untuk mengekalkan keremajaannya. Hidungnya menjadi lebih nipis,
keningnya terbentuk seperti wanita dan tulang rahangnya juga lebih
feminin. Malah menurut anak tirinya, Kim Kardashian, Bruce telah membuat
kesilapan kerana mendengar nasihat seorang doktor bedah plastik yang
mengatakan pembedahan menegangkan kulit dan di hidung merupakan pilihan
terbaik untuknya. Pada tahun 2009, dia menjalani satu lagi pembedahan
untuk memperbetulkan kesilapan lama.
Janice Dickinson
Janice menggelar dirinya supermodel pertama dunia, dan wajah eksotik
kacukan Scottish, Irish dan Polish yang dimilikinya menjadi rebutan
pelbagai agensi pada era 70-an. Namun, tidak ubah seperti para model
lain dengan tempoh kekal yang tidak lama, Janice cuba berpaut pada
glamor dan keremajaannya sehinggakan dia kerap kali melakukan pembedahan
kosmetik untuk tidak kelihatan tua.
Hasilnya? Janice sendiri sering membuat jenaka tentang wajahnya dan mengatakan yang dia telah lupa bagaimana rupa sebenarnya.
Heidi Pratt
Bintang realiti TV "The Hills" ini memang meraih perhatian kerana
kecantikan semulajadinya. Namun itu tidak cukup bagi isteri kepada
(seorang lagi) bintang realiti, Spencer Pratt ini.
Hasilnya? Jerawat di bawah dagunya akibat mengasah dagu, dua bahagian
botak di garis rambutnya akibat prosedur menegangkan kening, dan parut
di belakang telinganya disebabkan telinganya ditarik ke belakang. Dia
juga memiliki parut di behagaian belakang dan di bawah punggung akibat
liposuction yang gagal, kesan berwarna merah di bahagian dalam lubang
hidung kanannya dari rhinoplasty dan saiz dada yang tidak seimbang.