Pages

Saturday, March 23, 2013

4500 Rokok Putih Dirampas



PELABUHAN KLANG 22 Mac - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) daerah Klang berjaya mematahkan satu lagi cubaan seludup rokok dengan merampas 4,500 karton rokok putih bernilai RM410,000 di kawasan perairan Sepang dekat sini, malam tadi.
Ketua Penguat Kuasanya, Kapten Maritim Christopher Ravindran Dass berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, bot ronda Maritim Malaysia sedang menjalankan operasi penguatkuasaan sebelum mengesan sebuah bot pancung dipercayai dari negara jiran di kawasan gelap.
Katanya, berikutan itu, pihaknya bertindak mengejar dan berjaya menahan bot tersebut tetapi tekong dan awak-awak bot pancung berkenaan melarikan diri.
"Kita percaya kumpulan yang membawa rokok seludup ini adalah individu sama terlibat dengan rampasan rokok baru-baru ini berdasarkan modus operandi dan penemuan bot yang digunakan.
"Mereka dilihat semakin berani membawa masuk rokok kerana terdapat permintaan tinggi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Pada 20 Mac lalu, Maritim Malaysia daerah Klang merampas 4,500 karton rokok putih seludup di Muara Kampung Batu Laut, Sepang.
Christopher menjelaskan, pihaknya akan meningkatkan pengawasan dengan menghantar sebuah bot besar bagi menjaga perairan selama 24 jam, manakala bot kecil juga akan membuat rondaan selama 12 jam setiap hari untuk membantu membanteras kegiatan tersebut.
"Nilai rampasan terbaharu rokok tersebut termasuk duti import, duti eksais dan cukai jualan berjumlah RM410,000 serta nilai bot gentian kaca dan tiga buah enjin sangkut pula dianggarkan bernilai kira-kira RM240,000," katanya. Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

No comments:

Post a Comment