Pages

Monday, October 28, 2013

konsert Kesha Dibatalkan Kerana Gagal Dapat Permit


 
Kurang 36 jam sebelum konsert sulung penyanyi Amerika Syarikat popular, Kesha di Malaysia berlangsung, Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) tidak meluluskan permit acara berkenaan sehingga menyebabkan penganjur konsert, Livescape Sdn. Bhd. mengalami kerugian lebih RM1 juta.
Kesha Warrior Tour sepatutnya berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada Sabtu jam 8.30 malam.
Dalam satu kenyataan kepada media pada Jumaat malam, Livescape kesal apabila permohonan mereka yang dikemukakan pada 10 September lalu ditolak pada saat-saat akhir.
"Surat rasmi penolakan permohonan permit kami hanya dihantar kepada kami pada jam 11.24 pagi (Jumaat, 25 Oktober 2013) bersama-sama dua surat lain bertarikh 1 Oktober dan 18 Oktober. Ketika kenyataan ini ditulis, kami masih lagi belum menerima penjelasan rasmi sebab pembatalan konsert Kesha Warrior Tour," jelas kenyataan tersebut.
Sebagai penganjur berpengalaman dalam mengendalikan lebih 100 konsert, Livescape menjelaskan pihak mereka telah mengemukakan segala dokumen yang diperlukan bagi memastikan garis panduan PUSPAL dipatuhi oleh artis dan syarikat pengurusannya.
Malah Livescape turut memberitahu pihak Kesha bersetuju untuk mengadakan persembahan yang bersesuaian dengan sensitiviti dan budaya Malaysia, termasuk mengubah lirik lagu, pakaian dan sebagainya bagi menghormati garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Livescape yang menerima dan menghormati keputusan PUSPAL bagaimanapun merasakan situasi tersebut dapat dielakkan atau kerugian yang ditanggung berkurangan sekiranya keputusan dan sebab penolakan permohonan mereka dimaklumkan lebih awal.
Mereka turut menjelaskan penganjurkan tempatan seringkali terpaksa menanggung kerugian tinggi walaupun berhasrat untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi muzik 'live' berdaya maju dan juga memberi peluang kepada peminat muzik menyaksikan artis kegemaran mereka secara langsung selain kempen Tahun Melawat Malaysia 2014.
Berikutan pembatalan konsert ini, Livescape turut memohon maaf kepada peminat dan akan mengembalikan semula wang termasuk menawarkan bayaran balik perjalanan kepada mereka mengikut syarat dan terma tertentu.
Layari www.facebook.com/livescapeasia untuk maklumat lanjut.
Pemilik nama sebenar Kesha Rose Sebert yang berusia 26 tahun ini popular dengan lagu-lagu seperti "Tik Tok", "Die Young" dan "C'Mon".

No comments:

Post a Comment