Kuala Lumpur: “Saya mohon maaf pada Lana, mereka yang terbabit secara
langsung dan tidak langsung juga peminat,” kata Johan As’ari, 27,
selepas memutuskan hubungan dengan aktres Lana Nodin, 34, kelmarin
selepas tamat pementasan Bahayanya Wanita di Istana Budaya, di sini.
Sewaktu dihubungi Johan menjelaskan keputusan itu dibuat kerana
mementingkan keluarga terutama ibunya berbanding kepentingan diri
sendiri.
“Lana seorang wanita yang baik, tetapi apabila menyentuh soal nikah
dan kahwin, ia berupa perkara besar dalam hidup. Lagipun untuk berumah
tangga, restu dan doa ibu itu sangat penting, tetapi apabila perkara itu
tidak berlaku saya terpaksa mengambil tindakan ini,” katanya.
Johan bagaimanapun cuba mengelak menjawab soalan mengenai ibunya
yang dikatakan tidak menyukai Lana atau nama sebenarnya, Mazlina Hasan
Nodin, sebaliknya menegaskan beberapa kali apa yang berlaku adalah
kesilapan dirinya.
“Saya tidak sangka kenyataan dibuat membawa kepada perpisahan ini.
Pengumuman untuk bertunang dan menikahi Lana sebelum ini kerana saya
benar-benar ikhlas, tetapi disebabkan pelbagai isu timbul, saya membuat
keputusan ini.
“Saya masih muda dan ini kali pertama berhadapan pelbagai situasi
dalam melayari hubungan cinta dengan Lana. Saya akui segala yang berlaku
berpunca daripada kesilapan saya yang masih tidak matang dan tidak tahu
bagaimana mahu berhadapan dengan masalah. Sebelum banyak masalah timbul
menyebabkan saya membuat keputusan ini,” katanya.
Keputusan diambil Johan dilihat terburu-buru, tambahan pula
hubungan dijalinkan dengan Lana baru sebulan usianya. Ditanya mengenai
adakah dia berusaha membawa Lana bertemu keluarganya terutama ibunya
yang didakwa menentang hubungan mereka, jelas Johan, dia tidak mahu
terus-terusan menyakiti hati bekas kekasihnya itu.
“Saya cuba bercakap dengan ahli keluarga terlebih dulu, namun
jawapannya tetap sama. Jadi sekiranya saya membawa Lana bertemu mereka,
ia tidak akan mengubah apa-apa. Saya tidak mahu terus-terusan
menyakiti hati Lana,” katanya.
Katanya, walaupun tidak lagi bercinta dengan Lana, dia masih mahu
berkawan dengan pelakon utama filem Chow Kit itu dan menyerahkan
segalanya kepada Allah mengenai soal jodoh.
“Saya mahu menjadi lelaki yang lebih baik dan begitu juga Lana.
Diharapkan selepas hubungan ini saya dan dia sama-sama memperbaiki diri.
Mana tahu dalam berkawan itu, jodoh kami ditentukan. Tapi buat masa ini
keputusan dibuat dirasakan paling tepat,” katanya.
Hubungan Johan dan Lana mula menjadi perhatian umum apabila aktor
yang dikenali menerusi drama bersiri Juvana itu mengumumkan akan melamar
selepas tiga hari bertemu pada November lalu dan mendapat liputan
meluas media.
Sementara itu, sewaktu dihubungi, Lana pula menjelaskan bukan dia
memulakan (bercinta) sebaliknya Johan. Begitu juga apabila dia membuat
keputusan untuk memutuskan hubungan ini.
“Pada peringkat awal perhubungan cinta kami, saya melihat
kesungguhan ditunjukkan, apatah lagi Johan dengan berani tampil memberi
kenyataan mahu melamar saya. Begitupun waktu itu saya tidak menidakkan
dan tidak juga mengiyakan, sebaliknya cuba memberinya peluang.
“Apabila hubungan tidak mendapat restu ibunya, sepatutnya sebagai
lelaki Johan cuba mencari masa dan memperbaiki hubungan kami. Sebulan
terlalu singkat untuk kami melakukan segalanya sedangkan untuk memenangi
hati keluarga mengambil masa lebih panjang,” katanya.
Kata Lana, sebagai orang perempuan tidak manis untuk dia membuka
mulut, apatah lagi membicarakan soal lamaran seperti diuar-uarkan
sebelum ini dan memutuskan hubungan.
“Sepatutnya tempoh yang ada digunakan untuk mengenali hati budi
masing-masing termasuk ahli keluarga. Tetapi, cara diambil untuk
memutuskan hubungan kami sangat tidak matang kerana ia turut mengaibkan
keluarga saya. Tidak mengapalah kalau itu yang dia kehendaki. Biarlah
saya, dia dan Allah saja yang tahu siapa Johan As’ari,” katanya.
Menurut Lana, dia sendiri runsing dengan apa yang berlaku kerana sebelum ini hubungan mereka terjalin baik.
“Cuma kesungguhan itu tidak ada. Saya tidak tahu mengapa melainkan ada agenda lain.
“Dia kata jujur dan ikhlas, tetapi tindakannya lebih jelas daripada
kata-kata. Memutuskan hubungan dalam masa sebulan adalah satu tempoh
yang cukup pantas untuk menyalahkan takdir. Dia tidak sepatutnya membuat
keputusan (mahu melamar) terburu-buru, begitu juga dengan memutuskan
hubungan ini,” katanya.
macam-macam artis ni
ReplyDelete