Pages

Sunday, January 19, 2014

Lemas cuba selamat rakan


Jeli: Memilukan apabila seorang penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang cuba menyelamatkan rakan sekuliahnya, turut lemas sebelum mayat mereka ditemui selang 10 minit di Lata Renyok, Kuala Balah, di sini, kelmarin.
Kejadian jam 4.30 petang itu berlaku ketika Mohd Azim Sameer Nor Zamri, 21, dari Klang, Selangor dan Mohd Zulfikal Mohd Saupi, 20, dari Panglima Bayu, Tanah Merah, kedua-duanya penuntut Fakulti Industri Asas Tani UMK Jeli, mandi di kawasan dalam bersama sebahagian daripada 13 rakan yang berkelah di air terjun itu.
Ketika mandi, Mohd Zulfikal kejang kaki dan lemas sebelum Mohd Azim yang berada di tebing berenang semula ke arah rakannya untuk menyelamatkannya tetapi turut lemas.

Saksi kejadian, Mohd Sharil Hakimi Baharudin, 20, yang turut serta dalam perkelahan itu berkata, dia dan beberapa rakan lain tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku pantas.

“Saya tidak menyertai mereka mandi di tempat dalam dan hanya memerhati mereka berenang. Tiba-tiba Mohd Zulfikal meminta tolong kerana kakinya kejang dan dia lemas sebelum Mohd Azim berenang ke arahnya, tetapi turut lemas.

“Kedua-dua mangsa terkapai-kapai sebelum lemas. Saya dan rakan lain terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan mereka,” katanya.

Anggota bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat menemui mayat Mohd Azim pada 5.26 petang sebelum diikuti Mohd Zulfikal 10 minit kemudian, tidak jauh antara satu sama lain.

Mayat dua rakan itu dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga mereka untuk dikebumikan.

Jenazah Mohd Zulfikal dituntut ahli keluarganya jam 11 malam tadi manakala jenazah Mohd Azim Sameer diuruskan pihak UMK untuk dihantar ke kampungnya di Klang, Selangor.

Abang Mohd Zulfikal, Nor Akmal Saupi, 28, berkata, kali terakhir dia berjumpa adiknya pada Selasa lalu ketika mangsa bercuti di kampung.

“Adik tidak menunjukkan perubahan ketika kami sekeluarga berjumpa dengannya. Kami sekeluarga terasa kehilangannya namun kami reda kerana Allah SWT lebih menyayanginya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli Soleh Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.53 petang sebelum tujuh anggota bomba dan sebuah jentera serta 16 anggota bomba sukarela Jeli dan Kuala Balah ke tempat kejadian.

“Anggota bomba turut dibantu penduduk kampung dan kita mengambil masa 23 minit bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tenggelam berhampiran satu sama lain dalam kedalaman 3.6 meter.

“Mangsa pertama (Mohd Azim) ditemui jam 5.26 petang sebelum diikuti mangsa kedua (Mohd Zulfikal) kira-kira 10 minit kemudian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

No comments:

Post a Comment