Jangan sangka kerana sesebuah filem itu diterima ramai,
ia bermaksud filem tersebut filem yang bagus, dan jangan pula sangka
filem yang tidak laris di panggung itu bermakna filem tersebut tidak
berkualiti.
Adakalanya apa yang disukai dan apa yang berkualiti tidak berada di
tahap yang sama.
Adakalanya filem yang tidak bagus mendapat sambutan
ramai kerana ia mempersembahkan apa yang umum mahukan tapi tidak cukup
berkualiti sehingga golongan pengkritik mahu menerimanya, sementara yang
berkualiti pula ditolak kerana menyampaikan sesuatu yang anda tidak
mahu fikirkan tapi dianggap pengkritik sebagai filem yang inovatif atau
mempunyai mesej unik yang ingin disampaikan.
Antara contoh filem teruk yang laris dan filem bagus yang gagal di pawagam termasuk:
Filem teruk yang berjaya mendapat kutipan pecah panggung:

Stars Wars: Episode 1 - The Phantom Menace (1999)
Filem prekuel "Star Wars" ini berjaya menjana AS$475 juta (RM1.55
billion) melalui kutipan pecah panggung apabila ia ditayangkan pada Mei
1999. Sekalipun dengan jumlah yang begitu hebat, perkara yang sama tidak
boleh dikatakan tentang penerimaan penonton dan para pengkritik.
Bukan sahaja trilogi awal Lucas ini dianggap membosankan, "The Phantom
Menace" dianggap sebagai filem "Star Wars" yang paling teruk, dengan
kewujudan karakter yang menjengkelkan seperti Jar Jar Binks dan Anakin
Skywalker itu sendiri.
The Twilight Saga: New Moon (2009)
Siri novelnya menerima kritikan hebat. Plotnya dipersoalkan. Moral
ceritanya ditolak oleh sebahagian besar orang ramai yang merasakan kisah
percintaan pontianak ini tidak mengajar gadis remaja untuk menjadi
wanita yang lebih berdikari.
Apabila filemnya ditayangkan, kritikan tersebut menjadi lebih hebat,
apatah lagi dengan lakonan Kristen Stewart dan Robert Pattinson yang
dianggap tidak berkesan. Filem seterusnya, "New Moon" yang ditayangkan
pada tahun 2009 menjadi bahan kutukan yang lebih hebat kerana
menonjolkan watak Bella Swan sebagai gadis remaja yang mudah terpengaruh
dan tidak tahu apa yang dia perlukan. Malah hampir 40 minit dari filem
tersebut dipenuhi babak Bella menangis dan bersedih. Namun begitu, filem
tersebut berjaya meraih AS$296 juta (RM965 juta), dan itu baru di
Amerika saja! Jelas sekali, walaupun ia menjadi bahan kritikan dan
ejekan orang dewasa, para peminat remaja "Twilight" lebih berkuasa.
Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides (2011)
Ya, "Pirates of the Caribbean: The Curse of the Black Pearl" merupakan
sebuah filem pecah panggung, apatah lagi bila sudah lama filem berunsur
lanun tidak diterbitkan. Ia menaikkan lagi populariti Johnny Depp di
mata dunia, dan menjadikan Jack Sparrow watak ikonik.
Namun selepas tiga buah filem, pihak Disney mahukan keuntungan yang
lebih lagi. Sekalipun Orlando Bloom dan Keira Knightley, dua dari
pelakon utama trilogi asal enggan kembali untuk filem keempat,
persetujuan Johnny Depp dianggap sebagai satu petanda bahawa filem
keempat harus dihasilkan!
Ya, filem tersebut berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak AS$241
juta (RM786 juta) di AS ketika ditayangkan pada tahun 2011, tapi dari
sudut kualiti, filem tersebut berada di tahap yang agak teruk. Ramai
yang sudah mula bosan dengan telatah Jack yang sudah jadi makin
menjengkelkan berbanding lucu, plot cerita yang membabitkan lanun
legenda, Blackbeard terlalu remeh jika dibanding dengan antagonis Davy
Jones dalam filem kedua, dan
'love interest' Jack Sparrow lakonan Penelope Cruz dianggap agak berlebihan.
Transformers: Revenge of the Fallen (2009)
Ramai yang ternanti-nantikan filem "Transformers" ketika Steven
Spielberg mengumumkan bahawa mereka bakal menerbitkan animasi dan
permainan tersebut ke layar lebar. Hasilnya? Sebuah filem hebat yang
berjaya mengungguli carta Top 10 filem tahun 2007.
Namun begitu, nampaknya pihak studio dan pengarahnya Michael Bay tidak
sabar hendak mengutip lebih banyak keuntungan, lalu menghasilkan
sekuelnya, "Revenge of the Fallen" hanya dua tahun selepas filem
pertama. Para peminat terus termakan umpan dan menyebabkan filem
tersebut berjaya meraih AS$402 juta (RM1.3 billion) di AS.
Adakah filem sekuelnya sebaik yang pertama? Michael Bay dan Shia LaBeouf sendiri mengakui plot filem tersebut tidak masuk akal.
Pearl Harbor (2001)
Ketika ia ditayangkan, Michael Bay berkata filem ini bakal menjadi
"Titanic" yang kedua. Ia tidak berjaya sampai ke tahap itu, tapi masih
mampu mendapatkan AS$198.5 juta (RM647 juta) selepas tayangannya di AS
pada 2001.
Malangnya, "Pearl Harbor" tidak seperti judulnya langsung. Ia bukan
benar-benar berkisar tentang pengeboman Pearl Harbor, tetapi hanya latar
kepada kisah cinta tiga segi lakonan Kate Beckinsale, Ben Affleck dan
Josh Hartnett. Bukan sahaja banyak kesilapan dari sudut teknikal dan
sejarah Pearl Harbor untuk filem yang menggunakan nama pelabuhan
tersebut, malah plot sebenarnya tentang cinta tiga segi itu pula tidak
banyak berbeza dengan filem Bollywood, "Sangam" lakonan Raj Kapoor,
Vyjayanthimala dan Rajendra Kumar yang ditayangkan 37 tahun sebelum itu!
Filem bagus yang gagal:
The Insider (1999)
Filem yang dibuat dengan bajet AS$90 juta (RM293 juta) ini hanya meraih
AS$29.1 juta (RM98.5 juta) di Amerika dan AS$31.2 juta (RM101,7 juta) di
seluruh dunia. Namun begitu, filem Michael Mann ini mendapat pujian
menyeluruh dari para pengkritik filem yang menyukai cara Mann
menterjemah watak-watak insan profesional yang kecewa menghadapi rasa
bersalah dan paranoia.
Namun begitu, mungkin para peminat filem tidak berminat untuk
menontonnya disebabkan filem tersebut berlatarkan kisah benar – yakni
tentang seorang tukang adu industri bernama Jeffrey Wigand (lakonan
Russell Crowe) yang dipengaruhi penerbit televisyen Lowel Bergman
(lakonan Al Pacino) untuk muncul dalam rancangannya, "60 Minutes" di
saluran CBS.
Walau apa pun, filem ini berjaya meraih tujuh pencalonan di Anugerah
Academy 2000 termasuk Lakon Layar Terbaik, Filem Terbaik, Pengarah
Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik.
The Shawshank Redemption (1994)
Sebuah lagi filem yang menerima tujuh pencalonan Oscar, "The Shawshank
Redemption" yang diadaptasi dari novel mini karya Stephen King ini tidak
berjaya menarik perhatian penonton ketika ia ditayangkan pada tahun
1994, malah hanya mampu meraih AS$28 juta (RM91.2 juta) di pawagam
berbanding bajet produksi sebanyak AS$25 juta (RM81.5 juta).
Namun begitu, filem ini juga meraih tempat pertama dalam senarai Top 250
dalam carta IMDB, dan seringkali disebut sebagai filem terbaik pernah
dihasilkan kerana kisahnya yang menyentuh hati, lakonan cemerlang dari
barisan pelakon seperti Tim Robbins dan Morgan Freeman, plot cerita yang
tidak membosankan malah runut bunyi yang hebat.
Sehingga kini, ramai yang tidak mengerti kenapa filem ini gagal di pawagam ketika ia ditayangkan.
The Iron Giant (1999)
Filem animasi arahan Brad Bird ini diberi markah sebanyak 97 peratus di
laman sesawang Rotten Tomatoes, malah Roger Ebert, pengkritik filem
paling disegani di AS memuji filem ini kerana mempunyai mesej yang
tersendiri, malah laman sesawang IGN menggelarnya "filem animasi bukan
Disney terbaik".
Namun begitu, filem lakon suara Vin Diesel, Harry Connick Jr. dan Eli
Marienthal ini gagal meraih kutipan cemerlang di pawagam, malah gagal,
apabila ia hanya berjaya meraih lebih kurang AS$30 juta (RM97.8 juta)
berbanding bajet yang dikeluarkan dianggarkan sebanyak AS$70 juta (RM228
juta). Ramai yang berpendapat kisah robot angkasa lepas yang hilang
ingatan ini lebih difahami orang dewasa berbanding kanak-kanak dan tidak
ada karakter comel yang boleh menarik perhatian.
Scott Pilgrim vs. The World
Entah di mana silapnya. Mungkin gaya penceritaannya yang eksentrik masih
belum boleh diterima ramai, atau mungkin Michael Cera bukan bintang
yang anda mahu lihat sebagai teraju utama. Namun begitu, filem yang
diadaptasi dari novel grafik karya Bryan Lee O'Malley ini hanya berjaya
memungut AS$47.6 juta (RM155 juta) berbanding bajet produksinya yang
memakan lebih kurang AS$90 juta (RM293 juta) (AS$60 juta (RM195,5 juta)
selepas pengecualian cukai).
Para penonton mungkin masih belum bersedia untuk filem yang seakan
permainan video ini, namun begitu, ia mendapat sambutan hangat di
kalangan pengkritik dan sebahagian peminat filem yang mungkin pernah
membaca karya O'Malley atau sukakan kelainan. Atau ramai yang masih
belum memahami filem bergenre ironi seperti filem ini.
Namun begitu, filem arahan Edgar Wright ini mempunyai pengikutnya yang tersendiri sehingga kini.
Cloud Atlas (2012)
"Membingungkan!" itu reaksi rata-rata penonton yang ke pawagam untuk
menonton filem adaptasi novel pemenang anugerah karya David Mitchell
ini. Akibat kebingungan itu dan kegagalan memahami konsep yang
menyatukan semua watak, filem tersebut hanya meraih AS$130 juta (RM424
juta) di pawagam. Mungkin nampak seperti banyak, tetapi bila ditolak
dari bajet asal sebanyak AS$102 juta (RM332,4 juta), pulangannya tidak
begitu memberangsangkan.
Namun begitu, filem arahan Tom Tykwer dan Wachowski Bersaudara ini
mendapat pujian yang hebat dari pihak pengkritik filem dengan Roger
Ebert menggelarnya, "Antara filem yang paling hebat pernah dihasilkan"
sementara majalah atas talian The Daily Beast pula mengatakan bahawa
"Cloud Atlas" merupakan filem yang paling penting 2012.
sumber yahoo