Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan
rakyat yang mengelak membayar cukai walaupun layak berbuat demikian
boleh dianggap sebagai pengkhianat negara.
Ini kerana, katanya, membayar cukai juga termasuk dalam satu dasar
dan prinsip patriotsme sama seperti mereka yang berjuang menjaga
keamanan dan menegakkan kedaulatan negara.
“Dengan membayar cukai, rakyat membantu negara meneruskan
kelangsungan pembangunan ekonomi bagi mengukuhkan negara. Apabila kita
lunaskan tanggungjawab untuk negara, itu satu semangat patriotik.
“Bila bayar cukai kita tolong rakyat dan tolong negara, kita
tanamkan semangat ini, dengan ini negara kita lebih berjaya,” katanya
ketika berucap pada perasmian penutup Seminar Pemerkasaan Ekonomi
Nasional (PENA) di Dewan Masjid Wilayah Persekutuan di sini, semalam.
Turut hadir Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni
Hanadzlah, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang juga
Pengerusi Sekretariat PENA.
Seminar pertama daripada 15 siri itu membincangkan tiga perkara
utama iaitu kebaikan sistem cukai GST, Bajet 2014 serta perbincangan
berhubung Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.
Siri jelajah PENA diteruskan di peringkat negeri bagi
membincangkan serta memberi penjelasan tiga perkara utama yang dijangka
dilaksanakan sehingga Februari tahun depan.
Mengulas lebih lanjut mengenai isu GST, Najib berkata, dengan
pelaksanaannya negara mempunyai sumber kewangan dan hasil lebih baik
untuk memacu pembangunan negara.
Beliau berkata dalam menuju ke arah negara maju pada 2020, Malaysia
perlu mempunyai sumber tambahan bagi menampung segala keperluan negara
terutama dalam membangunkan kemudahan infrastruktur.
“Kalau kita lihat perjalanan negara kita, cuba kita bayangkan
sejenak bagaimana hala tuju perkembangan negara kita, dalam keadaan
sebuah negara yang mana kampung tradisional, bandar kecil bertukar
wajah.
“Kita nak jalan raya baru, sekolah dan universiti baru dan ini
memerlukan peruntukan yang lebih, jadi kita tidak boleh tidak ada hasil,
kalau tidak siapa hendak bayar semua ini.
“Pilihannya dengan membuat pinjaman, tetapi kalau asyik pinjam apa
akan jadi, tidak terbayar kita, rating negara kita menurun, kita akan
muflis, semua rakyat susah, kita tidak boleh uruskan negara macam ini,”
katanya.
Mengenai Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, Najib berkata,
pembangunan ekonomi Bumiputera bukan bersifat rasis, sebaliknya segala
pelan agenda yang direncanakan untuk Bumiputera adalah agenda nasional.
Beliau menegaskan tidak wujud keadilan sosial jangka panjang jika
kaum majoriti di negara ini termasuk golongan Bumiputera di Sabah dan
Sarawak tidak diberikan perkongsian kekayaan negara secara adil walaupun
hak dan tuntutan kumpulan minoriti didengari.
“Kalau kelompok ini (Bumiputera) kelompok majoriti, tidak dapat
perkongsian kekayaan negara secara adil dan saksama, bererti ini bukan
keadilan sosial dan tidak menyumbang kepada kestabilan jangka panjang
negara kita.
“Jangan sebut ‘affirmative action’ (layanan sama rata) pada
golongan minoriti saja. Apa akan terjadi kepada negara ini jika golongan
majoriti terbiar dan dipinggirkan,” katanya.

No comments:
Post a Comment