Pages

Monday, November 25, 2013

Pierre Andre bersyukur UAI sudi berlakon dalam filemnya

 
Pengarah dan pelakon popular, Pierre Andre melahirkan rasa syukur dan teruja selepas pendakwah bebas terkenal Ustaz Azhar Idrus atau dikenali (UAI) sudi berlakon dalam filem terbaru arahannya "Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang".
"Kesudian untuk terbabit dalam pembikinan filem ini juga sudah membuatkan saya berasa bersyukur. Rasanya tidak salah saya menggunakan populariti Ustaz Azhar Idrus untuk tujuan baik," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Pierre, UAI seorang pendakwah yang disegani ramai malah setiap kali ceramahnya dia pasti tidak akan ketinggalan untuk mengikuti yang mana itu juga menyumbang kepada perubahan dalam dirinya.
Dalam pada itu, pengarah berusia 27 tahun itu juga mengakui populariti yang ada pada UAI dapat membantunya berdakwah dalam filem itu.
"Populariti UAI dapat membantu misi saya untuk berdakwah menerusi filem walaupun pendakwah itu hanya muncul untuk tiga adegan."
Namun begitu, jelas Pierre bukan mudah untuk mendapatkan khidmat UAI kerana banyak perkara yang harus dijaga dan dititikberatkan.
"Soalan pertama UAI tanya kepada saya, ada atau tidak perempuan terbabit dalam filem ini. Saya faham mengapa dia mengambil masa lama untuk membuat keputusan kerana enggan melanggar hukum Allah."
Selain kemunculan istimewa UAI, filem ini juga turut dibintangi Zalif Sidek, Mikael Andre, Epy Kodiang, Shiro Raja Lawak dan ramai lagi.
Filem terbitan MIG ini bakal menemui penonton pada 28 November ini.

1 comment:

  1. Tahniah Pierre! Semoga dengan terhasilnya filem ini, akan membawa satu revolusi baru dalam dunia perfileman tanah air... Syabas kepada semua yg terlibat.

    ReplyDelete