WEST, Texas 18 April - Satu letupan besar berlaku di sebuah kilang baja di bandar West, di sini semalam dikhuatiri mengorbankan sekurang-kurangnya 15 penduduk.
Angka rasmi korban masih tidak dapat disahkan setakat ini, namun stesen televisyen KWTX memetik kenyataan Pengarah Perkhidmatan Pengurusan Kecemasan West, George Smith mengesahkan kejadian tersebut.
Dalam kejadian itu, lebih 100 penduduk turut cedera, manakala berpuluh-puluh rumah berhampiran kilang berkenaan musnah, sekali gus memaksa penduduk sekitar dipindahkan.
Letupan di kilang West Fertilizer, utara Waco itu berlaku sebelum pukul 8 malam waktu tempatan (pukul 9 pagi waktu Malaysia), kata Penolong Ketua Bomba bandar Waco, Don Yeager.
Katanya, punca sebenar kejadian itu masih tidak dapat dipastikan, namun ia dipercayai melibatkan amonia kontang.
Yeager berkata, bomba dari bandar berhampiran turut bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran yang turut memusnahkan kediaman-kediaman.
Bomba juga katanya, telah menubuhkan satu unit khas menyelamat bagi membantu mangsa yang cedera di sebuah bangunan pangsapuri, lokasi ramai mangsa dipercayai terperangkap.
Anggota bomba yang bertugas memadamkan kebakaran itu dilaporkan turut cedera terkena letupan susulan, menurut lintas langsung bersama pengarah kecemasan sebagaimana yang disiarkan CBS News.
"Berlaku letupan susulan di lokasi kebakaran dan terdapat anggota bomba yang cedera,'' kata pegawai itu. - AFP/AGENSI
No comments:
Post a Comment