WASHINGTON 26 Mei - Dua buah kereta api bertembung di Misouri mengakibatkan tujuh orang cedera serta sebuah jejambat runtuh, lapor media tempatan.
Kemalangan itu berlaku kira-kira 190 kilometer di selatan-timur St. Louis pada kira-kira pukul 2.30 pagi waktu tempatan (3.30 petang waktu Malaysia), semalam apabila salah sebuah kereta api terbabit terbabas dan tergelincir memasuki lorong bersebelahan.
Menurut laporan St. Louis Post-Dispatch dalam laman webnya, kereta api terbabit tergelincir sebelum melanggar tiang jejambat menyebabkan berlaku kebakaran.
Seorang pegawai polis tempatan, Slipis Clay berkata, kedua-dua kereta api itu bergerak melalui bawah jambatan tersebut ketika kemalangan berlaku menyebabkan lima penumpang serta dua orang konduktor cedera.
"Mereka dihantar ke hospital berhampiran. Enam daripada mangsa yang cedera dibenarkan keluar dari hospital, manakala seorang lagi diberi rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya.
Ini merupakan kemalangan serius kedua membabitkan kereta api dalam tempoh kurang dua minggu.
Pada 17 Mei lalu, dua buah kereta api komuter berlanggar di Connecticut selepas salah sebuah daripadanya tergelincir menyebabkan 70 orang cedera. - DPA
No comments:
Post a Comment