LONDON 1 Feb. - Pakar teknologi percaya Apple
akan memfailkan saman ke atas Blackberry sekiranya jualan iPhone
mengalami penurunan kerana model Blackberry Z10 mirip menyerupai model
tersebut.
Bagaimanapun, syarikat pengeluar telefon pintar dari Kanada itu
enggan melayan sebarang pertanyaan berhubung Z10 yang menyerupai iPhone.
Pengarah Urusan Blackberry Eropah, Stephen Bates dalam satu temu bual
bersama Radio 5 telah ditanya soalan sebanyak lima kali sama ada
syarikat itu telah belajar sesuatu daripada Apple, namun dia tidak
memberi jawapan sepatutnya.
"Blackberry merupakan salah satu pelabur dalam pasaran telefon
pintar,'' jawapan sama yang diberikan Bates setiap kali penemu ramah
bertanyakan soalan sehingga dia berputus asa.
Malah, penemu ramah itu turut menyindir Bates dengan menyifatkan
jawapan 'bos' Blackberry tersebut hanya seolah-olah beliau sedang
membaca kenyataan akhbar.
Dalam pada itu, ramai pakar mendakwa gajet terbaharu Blackberry itu
'meminjam' sistem operasi daripada beberapa syarikat telefon pintar
termasuk Apple.
''Ia seolah-olah satu penggabungan daripada pelbagai sistem,'' kata Stuart Miles pengasas laman web Pocket-Lint.
''Kekunci skrin Blackberry mirip telefon milik Windows, paparan
aplikasi pula menyerupai iPhone manakala halaman aplikasi pula hampir
menyerupai Android.
''Saya tidak fikir pengguna akan keliru dengan telefon Blackberry yang lebih kelihatan berbentuk segi empat tepat,'' kata Miles.
Sementara itu, pakar undang-undang berkata, Apple mungkin berdepan
kesukaran untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Blackberry
ekoran pertikaian berpanjangan antara syarikat dengan Samsung. - AGENSI
No comments:
Post a Comment