Penjualan ubat kurus, pil diet atau pil pelangsingan badan telah menjadi perniagaan yang cukup menguntungkan. Cakap siapa sahaja, lebih separuh gadis muda mengatakan mereka pernah menggunakan ubat ini.
Ini mungkin kerana terlalu ramai yang mahukan diri mereka kelihatan seperti seorang "supermodel' walaupun ada yang memberi alasan menyahut seruan kerajaan mempromosi budaya hidup sihat.
Ramai sedia maklum penggunaan pil diet ini mempunyai risiko terhadap kesihatan.
Kerajaan juga telah mengharamkan penjualan beberapa jenis pil diet yang mengandungi sibutramine atau sintetik sibutramine atas alasan ini.
Bagaimanapun, disebabkan permintaan yang tinggi, pil diet yang mengandungi bahan ini terus dijual secara berleluasa di Internet dan pasaran gelap.
Ada yang berselindung di sebalik ubatan herba tetapi apabila diselidik ternyata mempunyai bahan yang sama.
Lebih berbahaya ubatan ini dijual tanpa perlu melalui saringan doktor terlebih dahulu.
Risiko serangan sakit jantung dan angin ahmar tidak cukup untuk menakutkan golongan ini.
Mungkin mereka tidak tahu ramai rakan pengguna yang telah mendapat penyakit mental seperti bipolar manic, psikosis dan delusional disorder akibat penggunaan ubat diet ini.
Laporan kes
Ayu ialah seorang gadis berusia 25 tahun. Dia mempunyai berat badan 55 kilogram (kg) dan tinggi 150sentimeter (cm).
Dengan body mass index (BMI) sebanyak 24.4 Ayu merasakan dirinya amat gemuk. Apatah lagi Ayu bakal melangsungkan perkahwinannya enam bulan lagi.
Ayu membeli ubat kurus tradisional di sebuah kompleks beli-belah. Ternyata ia memberi kesan mengurangkan selera makan.
Ayu sentiasa rasa kenyang walaupun tanpa menyentuh makanan. Ayu hanya bergantung kepada minuman kosong sahaja seharian.
Selepas dua bulan Ayu mengalami penurunan berat badan ketara. Ayu gembira tetapi berbeza pula dengan ibunya.
Ibu mengatakan tidak nampak Ayu tidur dalam tempoh itu. Ayu sibuk mengemas rumah, membasuh pakaian dan mengemop lantai sepanjang malam.
Siang hari pula Ayu tidak kelihatan letih. Malahan bertenaga ke sana sini. Percakapannya juga laju dan cepat.
Ayu kerap melayari Internet. Dia mudah menerima pelawaan kawan baru di Facebook. Dalam tempoh ini juga tunangnya mengadu Ayu telah menghadiri temujanji dengan dua teman lelaki baru.
Ayu selalu keluar rumah lewat malam dengan alasan melawat kawan dan berjumpa orang yang hebat. Ini bukanlah perlakuan Ayu sebenar.
Ayu merancang membuka pelbagai perniagaan baru. Dia merasakan dirinya begitu istimewa dan mampu melihat masa depan.
Ayu melenting apabila ditegur. Malah mengatakan tunangnya cemburu dan cuba menghantar ilmu hitam untuk menjatuhkannya.
Beberapa hari kemudian perlakuan Ayu semakin di luar kawalan. Ayu mengamuk lalu dia dibawa ke hospital.
Doktor memberhentikan ubat kurus yang ternyata mengandungi sintetik sibutramine dalam dos berlebihan.
Ayu kemudian dirawat dan keadaannya pulih selepas dua minggu. Malangnya tunang Ayu telah pun mengambil keputusan memutuskan perhubungan mereka.
Sintetik sibutramine
Kajian menunjukkan ubatan tradisional yang digunakan untuk rawatan kegemukan sebenarnya mengandungi sintetik sibutramine.
Sibutramine berfungsi sebagai penahan lapar dan struktur molekulnya hampir sama dengan amphetamine, bahan sama untuk dadah jenis syabu atau ais.
Ubatan herba yang mengandungi bahan ephedra juga sama strukturnya dengan amphetamine.
Sebab itu penagih dadah jenis ini biasanya tidak tidur malam, tidak lapar dan sentiasa aktif sehinggakan boleh menyebabkan perlakuan agresif.
Dalam keadaan gian, penagih akan merasa lapar dan banyak makan. Kerana itu pengguna ubat kurus jenis ini biasanya mendapat rebound atau mengalami kenaikan berat badan mendadak sehingga dua kali ganda apabila berhenti.
Tidak dapat dinafikan ada negara yang belum mengharamkan penggunaan sibutramine tetapi preskripsinya dibuat di bawah pengawasan rapi doktor.
Dosnya juga dikawal sekitar 10 ke 15 mg bagi tujuan penurunan berat badan pesakit obesiti melampau sahaja.
Pesakit yang mempunyai penyakit mental atau sejarah penyakit keturunan jenis bipolar tidak dibenarkan menggunakan ubat ini.
Kerajaan membuat keputusan terbaik dengan mengharamkan penggunaan sibutramine.
Ada pelbagai kaedah perubatan lain termasuk senaman dan diet yang masih boleh digunakan untuk tujuan menguruskan badan.
Masyarakat kita mudah terpedaya dengan produk kurus...sebab apa..nak cari cara mudah untuk kurus tanpa paham apa konsep untuk kurus
ReplyDeleteHuhuh
Jemput baca perkongsian saya di www.mamasyafi.wordpress.com yer