WASHINGTON 4 Mac - Sekumpulan saintis Amerika Syarikat (AS), semalam mengumumkan pasukannya berjaya merawat bayi yang dilahirkan dengan virus HIV.
Pengumuman itu dibuat berdasarkan kes seorang kanak-kanak dari Mississippi, yang kini berusia dua tahun setengah dan tidak lagi bergantung kepada ubat selama setahun tanpa menunjukkan tanda-tanda jangkitan.
Bagaimanapun, tiada jaminan kanak-kanak itu akan kekal sihat, walaupun ujian canggih yang dilakukan tidak menemui sebarang genetik virus HIV yang masih terdapat di dalam tubuh kanak-kanak tersebut.
Seandainya kanak-kanak tersebut benar-benar pulih, ia bakal menjadi pesakit HIV kedua yang sembuh di dunia.
Pasukan saintis yang diketuai Dr. Anthony Fauci berkata, keputusan tersebut menunjukkan usaha menyingkirkan jangkitan HIV dalam kalangan kanak-kanak, terutama di benua Afrika yang mencatatkan angka tertinggi bayi yang dilahirkan dengan virus itu boleh dicapai.
Kes ini semakin hampir dengan rawatan menyekat HIV, namun seandainya tidak berjaya, kami tetap akan meneruskan penyelidikan," kata pakar dari Institut Kesihatan Kebangsaan itu.
Menurut beliau, bayi tersebut diberi rawatan yang teliti dan pantas berbanding biasa, bermula dengan tiga jenis ubat dalam masa 30 jam selepas dilahirkan.
Sebelum ubat diberi, ujian mengesahkan bayi tersebut dijangkiti HIV, namun ibunya tidak pernah menjalani ujian sehinggalah tiba di wad bersalin.
Saya hanya merasa bayi ini mempunyai risiko yang tinggi berbanding risiko normal dan menerima rawatan terbaik daripada kami," kata Dr. Hannah Gay, Pakar Pediatrik HIV di Universiti Mississippi yang turut menyertai penyelidikan itu.
Tindakan pantas itu katanya, bertindak dengan menyekat HIV di dalam darah bayi, sebelum sel-sel virus itu bersembunyi di dalam tubuh bayi tersebut.
Kebiasaannya simpanan sel yang terpendam dengan pantas akan menjangkiti semula pesakit yang menghentikan rawatan ubat, namun dalam kes ini menunjukkan kesan sebaliknya dan doktor berterusan memantau bagi memastikan bayi itu ia bebas sepenuhnya daripada virus HIV. - AGENSI
No comments:
Post a Comment