|
LAHAD DATU – Drama pencerobohan kumpulan penceroboh dari Filpina yang berkampung di Kampung Tanduo di sini sejak 18 hari lalu sampai ke kemuncaknya semalam apabila pasukan keselamatan negara bertempur dengan puak pengganas Sultan Sulu itu.
Pertempuran berdarah pada pukul 9.59 pagi yang berlaku di kawasan Kampung Tanduo menyebabkan dua komando VAT 69 terkorban, tiga yang lain cedera manakala 12 puak pengganas turut terbunuh.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, pertempuran itu berlaku selepas pasukan keselamatan menghampiri Kampung Tanduo untuk meningkatkan kawalan keselamatan sebelum terserempak dengan puak pengganas itu.
“Kita telah masuk ke kawasan itu beberapa hari lalu bagi meninjau kawasan yang dikepung dan pagi ini (semalam) pasukan kita sekali lagi membuat tinjauan sama sebelum terserempak dengan puak pengganas.
“Puak pengganas itu terus melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan menyebabkan kita terpaksa membalas serangan itu,” kata beliau pada sesi taklimat kepada media di sini semalam.
Menurut beliau, pertempuran yang mengambil masa 20 hingga 30 minit itu menyebabkan dua anggota keselamatan negara terbunuh, tiga lagi cedera manakala 12 anggota puak pengganas terbunuh.
“Kita berjaya mengeluarkan anggota kita yang terbunuh dan cedera dalam pertempuran itu tetapi 12 pengganas yang terkorban masih berada di kawasan kampung,” jelas beliau.
Hamza memberitahu, dalam pertempuran itu juga, pasukan keselamatan merampas pelbagai senjata dan barangan milik puak penceroboh itu.
Antara senjata yang dirampas masing-masing dua laras M16, dua laras raifal semi-auto, dua pucuk pistol, peluru pelancar roket, kelongsong peluru dan beg pakaian.
No comments:
Post a Comment