Gergasi kepenggunaan elektronik itu memperkenalkan Galaxy S4 di pentas Dewan Radio City MUsic di sini.
Menurut firma Korea Selatan tersebut, S4 akan dipasarkan di 155 buah negara April depan tetapi harganya belum didedahkan.
"Bagi setiap manusia, hidup ini satu perjalanan," kata Ketua Divisyen Komunikasi Samsung, JK Shin.
Antara ciri-ciri S4 termasuk skrin definisi tinggi 12.7 sentimeter, keupayaan rakaman gambar dipertingkatkan dan fungsi penterjemahan melibatkan sembilan bahasa.
Selain itu, pengguna juga boleh memuat naik kandungan klip video S4 ke dalam televisyen Samsung.
Samsung merupakan pembuat telefon pintar yang dijana perisian Android terbesar dan paling berjaya di dunia. Perisian Android dikeluarkan oleh Google dan boleh dimuat turun secara percuma.
Sebelum ini, Samsung telah menjual model telefon pintar Galaxy S3 lebih 40 juta unit di seluruh dunia sejak gajet itu dilancarkan pada Mei tahun lalu.
Telefon S4 dilengkapi kamera belakang dan hadapan yang boleh beroperasi serentak untuk rakaman gambar serta klip video bagi menggabungkan imej subjek serta jurugambar.
Fungsi Main Berkumpulan S4 pula membolehkan beberapa gajet tersebut berkongsi muzik, gambar, dokumen atau permainan video.
Klip video yang disiarkan pada gajet itu akan terhenti jika penggunanya menoleh ke arah lain.
Rakaman video itu akan disambung semula apabila mata penonton kembali tertumpu pada skrin S4.
Gajet seberat 130 gram itu juga dapat digunakan untuk merekodkan senaman, pemakanan, kadar degupan jantung dan beberapa faktor kesihatan lain.
Telefon bimbit itu juga boleh mengesan suhu dan kelembapan bagi membantu pemiliknya mendapat maklumat persekitaran mereka.
"Terus terang, Samsung Galaxy S4 amat bagus tetapi gajet ini adalah evolusi kepada S3 dan bukan revolusi," kata penganalisis teknologi, Jeff Kagan. - Agensi
No comments:
Post a Comment