SOUTH KAMCHATKA, Rusia 18 Mac - Seorang
jurugambar Rusia, Igor Shpilenok berjaya 'membongkar' aktiviti
sekumpulan beruang perang Rusia yang ketagih menghidu minyak kerosin dan
gasolin.
Dia melakukan tugas itu selama tujuh bulan di Hutan Simpan Kronotsky, South Kamchatka di timur Rusia.
Beruang-beruang itu kelihatan gembira bermain dengan tong-tong minyak yang tidak digunakan lagi.
Shpilenok sempat memerhati gelagat mamalia tersebut menarik nafas
panjang selama beberapa minit sebelum memasukkan hidung mereka ke dalam
lubang tong itu dan kemudian 'khayal' dalam alam mereka sendiri.
Menurutnya, minyak itu digunakan bagi menghidupkan penjana dan juga
helikopter yang digunakan oleh pekerja hutan simpan tersebut.
Jurugambar berusia 52 tahun itu berkata, sesetengah haiwan tersebut
akan mengintai helikopter yang mendarat di kawasan itu bagi tujuan
membuang minyak.
Sejurus helikopter itu beredar, beruang-beruang tersebut akan
menghampiri kawasan itu dan mula menguis tanah untuk menghidu minyak
yang telah dibuang itu.
"Dalam beberapa kes, terdapat helikopter yang membawa beberapa tong
gasolin untuk ditinggalkan kepada pekerja hutan simpan di situ.
"Bagaimanapun, disebabkan pekerja taman itu tidak mengambil tong
tersebut tepat pada masanya, seekor beruang betina yang diberi nama
Suzemka, yang sudah ketagih dengan bau bahan itu, mengambil kesempatan
untuk melakukan aktiviti kegemarannya," katanya.
Beruang perang Rusia dipercayai merupakan beruang perang paling besar di dunia dengan berat kira-kira 544 kilogram. - AGENSI
No comments:
Post a Comment